Nama : Rosita Binti Ramli Umur : 39 tahun Ahli : 2016 |
Latar Belakang
Puan Rosita Binti Ramli merupakan ahli Pusat Internet Kg. Kuala Sungga yang banyak menglibatkan diri dengan program-program anjuran Pusat Internet samada kelas latihan ICT, bengkel keusahawanan serta Hari Bersama Komuniti anjuran Pusat Internet. Beliau merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan suami beliau merupakan pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah. Beliau merupakan tunggak utama Persatuan Wanita Tebong dan sentiasa aktif menjalankan aktiviti bersama wanita-wanita Tebong.
Sebelum penggunaan ICT / Penglibatan PI
Walaupun kewujudan internet telah lama ada tetapi Puan Rosita hanya menggunakan kemudahan yang ada untuk melayari Facebook dan untuk kegunaan perhubungan seperti aplikasi Whatsapp.
Selepas penggunaan ICT / Penglibatan PI
Atas inisiatif Pusat Internet mempromosikan latihan-latihan ICT yang dijalankan di PI dalam menggalakkan golongan wanita serta usahawan kecil Kuala Sungga mempertingkatkan kemahiran penggunaan komputer, Puan Rosita telah mengambil peluang yang ada untuk mempelajari kemahiran ICT dan telah membantu beliau menggunakan komputer dengan lebih baik serta meningkatkan kecekapan menggunakan aplikasi di dalam komputer seperti Microsoft Words.
Nama : Norazira Binti Ali Umur : 27 tahun Ahli : 2016 |
Latar Belakang
Puan Norazira Ali bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta di Melaka. Bermula pada tahun 2015, beliau mula membuka akaun facebook dan memulakan perniagaan dengan menjadi ejen jualan (dropship) pelbagai jenis barangan yang beliau mampu kendalikan. Antara barangan yang dijual adalah beg tangan, kasut dan barangan kosmetik serta kesihatan. Berbekalkan pengalaman berniaga secara atas talian, beliau memulakan langkah berniaga produk sendiri dimana minyak wangi menjadi produk utama keluaran beliau. Menggunakan nama NR Inspired Perfume, produk minyak wangi beliau semakin mendapat tempahan pelanggan yang pernah mencuba produk beliau.
Sebelum penggunaan ICT / Penglibatan PI
Pemasaran produk minyak wangi Puan Norazira lebih tertumpu kepada penggunaan Facebook dan juga Instagram
Selepas penggunaan ICT / Penglibatan PI
Dengan penglibatan Pusat Internet, Puan Norazira mampu menggunakan medium pemasaran atas talian selain daripada Facebook dan Instagram seperti Shopee, Lazada dan Mudah.my. Secara tidak langsung, produk minyak wangi NR Inspired Perfume mampu berkembang dengan lebih meluas.
Nama : Nor Anisah Binti Sadar Umur : 35 tahun Ahli : 2016 |
Latar Belakang
Puan Nor Anisah binti Sadar merupakan seorang peniaga kuih bakar yang seringkali mendapat tempahan oleh penduduk sekitar Kuala Sungga semenjak beliau berpindah menetap di Kuala Sungga. Sebelum menjalankan perniagaan ini, beliau menetap di Kuala Lumpur bersama suami dan bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di kuala Lumpur. Bermula tahun 2016, beliau mengambil keputusan berpindah ke kampung kelahiran beliau dan memulakan perniagaan sendiri dengan mengambil tempahan kuih bakar yang diwarisi daripada ibunya.
Sebelum penggunaan ICT / Penglibatan PI
Penduduk Kampung Kuala Sungga sudah sedia maklum dengan pembuatan kuih bakar oleh ibu Puan Nor Anisah sebelum Puan Nor Anisah berpindah. Ini merupakan satu kelebihan kepada Puan Nor Anisah untuk mendapatkan tempahan daripada komuniti setempat.
Selepas penggunaan ICT / Penglibatan PI
Dengan kelebihan sedia ada, penambahan penggunaan kemudahan ICT membantu lagi promosi tempahan kuih bakar beliau. Laman Facebook dan Whatsapp sedikit sebanyak membantu mempromosikan lagi tempahan kuih bakar beliau luar daripada kawasan Kampung Kuala Sungga.
Nama : Mohd Haiqal Bin Abu Talib Umur : 17 tahun Ahli : 2015 |
Latar Belakang
Mohd Haiqal Bin Abu Talib merupakan anak muda tempatan Kampung Kuala Sungga Tebong. Beliau merupakan seorang yang mesra dan disenangi oleh penduduk Kampung Kuala Sungga Tebong. Beliau merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tebong. Kecenderungan kepada bidang muzik tradisional kompang, memberi semangat kepada anak muda ini untuk menceburi persatuan paluan kompang dan formasi Kasturi Tebong yang di urus selia oleh salah seorang belia Kg.Kuala Sungga
Sebelum penggunaan ICT / Penglibatan PI
Mohd Haiqal merupakan ahli berdaftar Pusat Internet Kg.Kuala Sungga dan beliau sering menggunakan perkhidmatan di Pusat Internet. Kebiasaan beliau menggunakan kemudahan internet untuk urusan peribadi seperti menggunakan laman sosial serta menonton youtube.
Selepas penggunaan ICT / Penglibatan PI
Kewujudan Pusat Internet Kg.Kuala Sungga menarik minat anak muda ini untuk mempelajari asas komputer seperti penggunaan Microsoft Word. Tunjuk ajar daripada petugas Pusat Internet telah membantu Mohd Haiqal untuk membuat surat, kertas kerja serta dokumen lain dengan sendirinya. Berbekalkan ilmu yang diperolehi dari pembelajaran di Pusat Internet Kg.Kuala Sungga, Mohd Haiqal kini dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Paluan Kompang dan Formasi Kasturi Tebong
Nama : Baharom Bin Salim Umur : 55 tahun Ahli : 2016 |
Latar Belakang
Encik Baharom merupakan seorang pegawai yang bertanggungjawab menjaga pusat pungutan susu di bawah Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak di Kampung Kuala Sungga. Walaupun beliau mempunyai kerja tetap, beliau mengambil inisiatif untuk menambahkan lagi pendapatan beliau dengan menjalankan perniagaan homestay di Kampung Kuala Sungga semenjak 2013 sehingga kini. Dengan bertemakan suasana kampung, homestay beliau seringkali menjadi pilihan mereka yang menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Sungga.
Sebelum penggunaan ICT / Penglibatan PI
Penggunaan ICT sedikit sebanyak membantu mempromosikan homestay beliau. Penggunaan Facebook yang menjadi medium utama promosi digunakan secara asas oleh beliau.
Selepas penggunaan ICT / Penglibatan PI
Melalui Pusat Internet, beliau memanfaatkan kemudahan pembelajaran yang disediakan. Beliau mendapat lebih ilmu dalam penggunaan Facebook serta penghasilan dokumen-dokumen seperti kertas kerja dan surat rasmi dengan lebih teliti.