Usahawan Penyediaan Makanan Nama : Zalina Binti Mahat Umur : 50 tahun |
Puan Zalina Binti Mahat merupakan seorang pengusaha kantin di Sekolah Kebangsaan Tebong. Beliau turut mengambil tempahan makanan untuk majlis-majlis keraian kecil-kecilan. Antara makanan yang sering mendapat tempahan adalah rendang maman. Pn Zalina yang sememangnya berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan mengambil peluang untuk memasarkan rendang maman. Sebelum ini, Puan Zalina Mahat bergantung kepada jualan di kantin sekolah sebagai salah satu promosi tempahan makanan beliau dimana kantin sekolah pembelinya adalah majoriti pelajar sekolah, guru dan beberapa pembantu kantin yang terdiri daripada penduduk kampung sebagai medium promosi beliau.
Dengan adanya PI Kg.Kuala Sungga, Puan Zalina Mahat diperkenalkan dengan kemudahan media sosial yang mampu mempromosikan usaha beliau. Beliau mampu memuatnaik gambar-gambar hasil masakan beliau ke laman sosial dan servis kini beliau dikenali bukan sahaja di dalam kampung malah di luar kawasan kampung.
Nama : Nuraishah Bte Mokhtar Umur : 40 tahun |
Puan Nuraishah Mokhtar merupakan seorang surirumah yang berasal daripada Tampin, Negeri Sembilan. Beliau menetap di Kuala Sungga setelah mendirikan rumahtangga dan dikurniakan seramai 5 cahayamata. Sebagai seorang surirumah, masa yang ada serta kemahiran memasak yang sedia ada digunakan sebaik-baiknya dengan mencuba pelbagai masakan. Suami beliau yang merupakan pembekal telur ke beberapa tempat seperti kantin-kantin sekolah telah memberi peluang kepada Puan Nuraishah memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan. Makanan ringan seperti kacang-kacang dan kerepek-kerepek yang dibungkus menjadi permulaan perniagaan sehinggalah beliau berani memulakan penjualan nasi bajet. Antara menu yang disediakan adalah nasi ayam dan nasi beriani dengan permulaan di bawah nama M Enterprise
Permulaan penjualan nasi bajet yang dilakukan dari rumah ini hanya bermula untuk permintaan jiran tetangga sahaja. Beliau yang menetap di kawasan perumahan taman memberi kemudahan pemasaran awal kepada umum mengenai kewujudan perkhidmatan penjualan nasi bajet beliau.
Penggunaan ICT yang diaplikasikan dalam perniagaan mampu membantu sesebuah perniagaan berkembang. Bagi Puan Nuraishah kewujudan teknologi ICT sedikit sebanyak membantu memperkenalkan perkhidmatan nasi bajetnya luar daripada kawasan taman perumahannya. Dengan promosi melalui Facebook, perkhidmatan nasi bajet beliau semakin mendapat sambutan dan masyarakat yang gemar akan nasi beriani mampu untuk dinikmati pada bila-bila masa dengan harga yang murah.
Nama : Chin Fook Tek
Umur : 53 tahun
Chin Fook Tek merupakan warga Kuala Sungga berbangsa Cina yang telah menjalankan pelbagai jenis perniagaan untuk menampung kehidupan harian beliau. Beliau yang masih belum berkeluarga, menggunakan masa yang ada untuk meningkatkan taraf hidup beliau. Antara perniagaan yang pernah diceburi dan masih berjalan adalah menjual sabun mandi dan perniagaan makanan di Machap Walk dimana beliau membantu adiknya. Beliau yang menetap di Kuala Sungga semenjak kecil lagi menjadikan kampung halaman sebagai tapak operasi perniagaan beliau. Kini beliau mencuba menjalankan perniagaan menjual motosikal baru di sekitar Kuala Sungga dimana kedainya bertapak di Batu Berendam.
Kehidupan harian di kampung, membuatkan beliau kekurangan ilmu untuk mengembangkan perniagaan yang sedia ada. Beliau banyak mengeluarkan modal untuk mempromosikan perniagaan beliau dimana beliau menggunakan khidmat orang lain untuk menghasilkan bahan promosi seperti risalah.
Kewujudan PI telah memberi sinar baru kepada beliau kerana melalui PI, beliau mampu menggunakan komputer. Beliau mendaftar sebagai ahli PI untuk mengikuti kelas yang mampu menambahkan kemahiran komputer beliau. Tambahan lagi, program peminjaman netbook telah memberi peluang kepada beliau untuk meneroka serta mengulangkaji penggunaan komputer di rumah. Dengan sedikit bantuan PI, kini beliau mampu menggunakan komputer untuk melayari internet, menggunakan media sosial serta meningkatkan kebolehan menaip beliau. Beliau menghasilkan risalah sendiri serta menggunakan medium MyShop Dashboard untuk mempromosikan perniagaan motosikal beliau.
Nama : Pn Nor Anisah Bt Sadar Mohamad
Umur : 32 tahun
Puan Nur Anisah binti Sadar merupakan anak kelahiran Kuala Sungga Tebong yang berasal daripada keluarga berniaga. Bapanya mempunyai syarikat kontraktor sendiri manakala ibunya yang merupakan bekas pekerja KEMAS ada menjual kain ela secara kecil-kecilan kepada penduduk sekitar Kuala Sungga Tebong Beliau yang berkahwin dengan Encik Roslan bin Jamil dan dikurniakan dua orang anak memulakan perniagaan menjual pelbagai roti dan donut semenjak awal bulan Mac 2016. Beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja di salah sebuah syarikat Swasta di Kuala Lumpur berdasarkan minat untuk mempunyai perniagaan sendiri dan kembali ke kampung halaman memandangkan kos sara hidup yang lebih terjamin di sini. Kelengkapan yang sedia ada kepunyaan kakak beliau dimana kakak beliau pernah mengusahakan roti buatan sendiri suatu ketika dahulu seperti oven, mesin pengadun dan peti sejuk memudahkan permulaan perniagaan beliau.
Memandangkan beliau merupakan seorang bekas kerani di salah sebuah syarikat swasta, pengalaman beliau dalam penggunaan komputer sedikit sebanyak memudahkan urusan pengendalian perniagaannya. Beliau memulakan perniagaan dengan membuka gerai kecil dihadapan premis pembuatan roti dan donut beliau.
Penggunaan ICT dalam urusan perniagaan beliau sedikit sebanyak membuka peluang kepada produk perniagaannya keluar daripada kawasan Kuala Sungga. Premis perniagaannya yang berdekatan dengan Pusat Internet Kg.Kuala Sungga memudahkan lagi urusan perniagaan dimana perkhidmatan-perkhidmatan seperti capaian Internet (WIFI), percetakan, fotokopi serta perkhidmatan peminjaman netbook boleh didapati untuk memenuhi keperluan-keperluan perniagaan beliau. Beliau tidak segan silu untuk bertanya sekiranya beliau menghadapi kemusykilan berkaitan dengan ICT. Dengan kewujudan modul MyShop di dalam aplikasi PI Dashboard, beliau menjadikan modul tersebut sebagai salah satu medium promosi jualan roti dan donut beliau. Penggunaan Internet juga banyak membantu beliau untuk mencari tempat-tempat yang boleh dijadikan platform jualan roti dan donut beliau.
Nama : Pn Shamshiah Bte Makran
Umur : 49 Tahun
Taraf Pendidikan : Sekolah Menengah
Pekerjaan : Surirumah Tangga serta Tukang Jahit
Puan Shamshiah Makran merupakan salah seorang ahli PI yang kerap mendapatkan perkhidmatan daripada PI samada untuk kegunaan pembelajaran atau urusan harian. Beliau mula berjinak-jinak dengan kraftangan kain perca bermulanya pada tahun 2016. Antara kraftangan kain perca yang berjaya dihasilkan dan mendapat tempat di hati pelanggan-pelanggannya adalah rantai kunci aneka bentuk, tempat meletak jarum peniti, beg, hiasan gantung dan bekas pensel. Beliau mendapat ilham untuk mempelajari kraftangan kain melalui kenalan yang memperkenalkan beliau dengan kumpulan Whatsapp membuat kraftangan. Beliau mendapatkan contoh-contoh pola bentuk melalui individu yang mengendalikan kumpulan tersebut dengan kadar bayaran tertentu Beliau mendapati pembelajaran melalui whatsapp tidak dapat ditunjuk secara realiti. Oleh itu, beliau mengambil inisiatif untuk menggunakan saluran Youtube untuk mendapatkan cara-cara pembuatan kraftangan tersebut secara realiti. Beliau menggunakan PI sebagai satu tempat rujukan dan pembelajaran ilmu-ilmu ICT yang berguna untuk perkembangan kraftangan yang beliau hasilkan. Beliau mengambil kursus Intel Easy Steps dan Intel Basic Entrepreneurship kerana minat beliau dalam menambahkan ilmu. Kini beliau masih menjalani kursus tersebut secara berperingkat mengikut kesesuaian masa beliau sebagai seorang surirumah dan seorang tukang jahit. Beliau bercita-cita mahu mempunyai blog sendiri untuk berkongsi hasil-hasil jahitan beliau dan dalam masa yang sama menjadikan salah satu platform pemasaran kraftangan beliau. Facebook menjadi pilihan utama beliau buat masa kini dan sedikit demi sedikit, kraftangan beliau mula dikenali orang luar daripada kawasan Kuala Sungga. Beliau turut bekerjasama dengan pihak PI untuk membuat video pembuatan kraftangan kain yang beliau hasilkan.
Halaman 1 dari 2