Pekan Kuala Sungga merupakan salah satu kampung yang terdapat di dalam kawasan DUN Machap.


Menurut cerita lisan penduduk tempatan, Kampung Kuala Sungga pada awalnya adalah hutan yang dipercayai telah diteroka sejak 200 tahun yang lalu. Penduduk asalnya dikatakan telah datang dari Nyalas dan Negeri Sembilan.


Nama asal Kampung Kuala Sungga telah diambil dari nama seorang tokoh pemimpin yang berpengaruh dan merupakan pembuka asal kampung itu, iaitu Datuk Sungga.


Selain Datuk Kuala Sungga, terdapat tiga sahabat beliau iaitu Datuk Bongkok, Datuk Hujan Panas dan Datuk Janggut yang dikatakan mempunyai keramat selepas hayat mereka. Mereka juga dikatakan dan dipercayai oleh penduduk sebagai penjaga empat penjuru di kampung Tebong bagi memastikan keselamatan dan keharmonian kampung sentiasa terjamin pada ketika itu.


Menurut penduduk, sekiranya mereka mahu mengadakan majlis kenduri kahwin, mereka akan bernazar di makam Datuk Kuala Sungga dan akan mendapat pinggan mangkuk pada keesokan harinya untuk melaksanakan majlis perkahwinan. Bagi mereka yang mahu memastikan tanaman padi mereka menjadi akan bernazar di makam Datuk Hujan Panas manakala mereka yang mempunyai ternakan yang hilang atau berpenyakit akan bernazar di makam Datuk Janggut.
Penduduk akan mengadakan solat serta tahlil di makam tersebut dan mengadakan majlis kesyukuran dengan menyembelih kambing setiap tahun. Bagaimanapun, kepercayaan cerita ini kini semakin dilupakan oleh generasi hari ini. Masyarakat di Kuala Sungga pada dahulunya menjalankan pemerintahan mereka mengikut Suku iaitu Suku 3 Batu, Suku Anak Melaka, Mungkar dan Duanda